Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Jumaat – Gerakan Pengundi Sedar (GPS) melancarkan satu petisyen bagi mendapatkan sokongan rakyat Malaysia untuk mendesak Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing untuk meletakkan jawatan.
Pengerusinya, Hazry Saimin berkata, desakan itu susulan kegagalan King Sing menjalankan amanah yang diberi mengemudi kementerian itu.
Katanya, petisyen yang dilancarkan bersama Gabungan Nasionalis (GN) itu disasarkan mendapatkan sokongan satu juta rakyat Malaysia.
Tambah beliau, tindakan itu diambil selepas GPS membuat laporan polis terhadap King Sing dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.
“Kami mendesak agar Tiong King Sing meletakkan jawatan secara terhormat bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara.
“GN dengan kerjasama GPS dan rakan-rakan NGO lain telah melancarkan satu petisyen “1 Juta Rakyat Malaysia Desak Tiong King Sing Letak Jawatan” dan menyeru seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menyokong petiyen tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
King Sing sebelum ini dikritik ramai apabila mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap pemilik premis yang memaparkan papan tanda tanpa lesen dan tidak menggunakan bahasa Kebangsaan.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI