BANGI, Jumaat – Hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah munasabah dan berpatutan, kata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid.
Menurut Azhar, faktor kepentingan awam merupakan antara faktor utama yang diberikan pertimbangan selain kedudukan Syed Saddiq sebagai seorang tokoh.
Tambahnya, sebagai seorang Ahli Parlimen dan idola anak muda, Syed Saddiq sepatutnya menunjukkan contoh tauladan yang baik.
“(Ini supaya) untuk beliau terus menjadi ikutan anak-anak muda, selain melaksanakan tanggungjawab seorang yang dipilih rakyat Muar dalam memperjuangkan hak mereka,
“Mahkamah juga mengambil kira ini kesalahan pertama tertuduh, selain itu, usia tertuduh yang masih muda juga menjadi pertimbangan mahkamah ini,
“Pada usia ini, tertuduh masih mempunyai banyak masa lagi untuk menyedari dan memperbaiki kesilapan dilakukan serta mengambil iktibar daripada apa yang berlaku,” katanya dalam alasan penghakiman setebal 22 muka surat di laman web mahkamah, hari ini.
Azhar berkata, mahkamah mengambil maklum berkenaan kekerapan kes pecah amanah jenayah (CBT) dan salah guna kuasa yang dibawa ke mahkamah pada masa ini.
Selain dari itu, penafian Syed Saddiq berkenaan beliau mempunyai pengetahuan tentang penyimpanan dan kegunaan wang tersebut juga adalah sesuatu yang sukar diterima akal.
“Mahkamah ini berpendapat bahawa adalah tidak munasabah bagi seorang pemimpin sayap parti politik tidak mempunyai pengetahuan tentang pengeluaran sejumlah wang besar sebanyak RM 1 juta dari akaun sayap tersebut lebih-lebih lagi fakta bahawa sejumlah wang yang besar telah dikeluarkan, ujarnya dalam penghakiman Mahkamah Tinggi.
Dalam pada itu, Mahkamah Tinggi turut menolak pembelaan Syed Saddiq yang menyatakan beliau tidak mengetahui transaksi pengeluaran RM 1 Juta tersebut.
Pada 9 November 2023, Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan rotan, dan denda RM10 juta terhadap Syed Saddiq setelah didapati bersalah atas empat pertuduhan CBT, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana Pemuda Bersatu yang bernilai RM1.12 juta.
Namun, Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Rayuan.
Sebelum ini, bekas Presiden MUDA itu didakwa bersubahat dengan bekas penolong bendahari Pemuda BERSATU, Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana RM1 juta milik Pemuda Bersatu, untuk melakukan CBT.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral pada 6 Mac 2020.
Dakwaan dibuat di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan, membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI