Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Jumaat – Keadaan banjir di seluruh negara kian memburuk khususnya di Kelantan, Terengganu, Pahang yang diramalkan berada di tahap berbahaya sehingga hari ini.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah keseluruhan mangsa banjir yang disifatkan terburuk negara kini sudah mencecah 74,262 orang daripada 22,992 keluarga di tujuh negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor.
Jelas portal itu, sebanyak 501 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka sebagai tempat perlindungan sementara buat mangsa-mangsa yang terjejas di negeri yang terlibat.
Tambahnya, Kelantan mencatatkan jumlah terkini mangsa banjir iaitu 59,232 daripada 18,471 mangsa dan ditempatkan di 221 PPS.
Antara daerah yang terjejas Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Kuala Krai, Bachok, Pasir Puteh, Kota Bharu, Machang, Jeli dan Gua Musang.
Manakala Terengganu merekodkan sejumlah 11,870 mangsa daripada 3,461 keluarga yang turut membuka sebanyak 235 PPS.
Selain itu di Kedah, sejumlah 2,237 mangsa daripada 778 keluarga dan kebanyakan daripada mereka kini ditempatkan di 31 buah PPS.
Dalam pada itu, Negeri Sembilan pula mencatatkan sejumlah 274 mangsa daripada 96 keluarga dan hanya dua buah PPS dibuka.
Perak pula mencatatkan 151 bilangan mangsa daripada 48 keluarga yang ditempatkan dia dua buah PPS.
Sementara itu, di Selangor pula mencatatkan 159 mangsa daripada 39 keluarga yang turut ditempatkan dua buah PPS.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI