Oleh: Wartawan Pertiwi
BANGI, Khamis – Cadangan untuk menukar semula nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada nama asalnya, Universiti Pertanian Malaysia bakal dibawa ke peringkat Kabinet untuk dibincangkan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata cadangan tersebut dibuat dengan mengambil kira keutamaan negara yang kini tertumpu kepada isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian negara.
Katanya, beliau sendiri yang akan membawa cadangan itu ke Mesyuarat Kabinet tidak lama lagi.
Mohamad berkata, cadangan terbabit merupakan hasratnya dan menyifatkan usaha mengembalikan nama UPM kepada Universiti Pertanian adalah sesuai.
“Saya berhasrat mahu tukar semula nama, sebab dulu asalnya memang nama Universiti Putra adalah Universiti Pertanian. Untuk kembali nama kepada Universiti Pertanian, saya ingat sesuai.
“Barangkali masa tukar nama dulu kita tidak fikir isu ‘climate change’ dan perubahan cuaca, jadi sekarang pertanian sudah jadi isu dunia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semua bincang pasal pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucap tama dan menjadi moderator pada sidang selari tujuh Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) bertajuk Keterjaminan Makanan yang diselaraskan oleh UPM di Putrajaya hari ini.
Untuk rekod, nama institusi tersebut pernah ditukar daripada Universiti Pertanian Malaysia kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 3 April 1997 sebagai simbolik atau gambaran bahawa status UPM sebagai pusat pengajian tinggi yang menawarkan pelbagai bidang lain selain bidang pertanian.
Sumber: BERNAMA
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI