Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Khamis – Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan tiga jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu bagi sesi 2024-2027 yang berkuat-kuasa hari ini.
Dalam pengumuman yang dikongsikan menerusi hantaran di Facebook, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Setiausaha Agung BERSATU.
Sementara itu, Datuk Seri Rina Mohd Harun dilantik sebagai Bendahari Agung manakala jawatan Ketua Penerangan disandang Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
“Sukacita saya ingin mengumumkan pelantikan jawatan-jawatan kanan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU bagi sesi 2024-2027 yang dibuat menurut Fasal 13.9 Perlembagaan BERSATU.
“Pelantikan ini akan berkuatkuasa pada hari ini,” katanya.
Pada pemilihan BERSATU sebelum ini, Muhyiddin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden dan TImbalan Presiden.
Sementara itu, bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin menang dalam pertandingan enam penjuru bagi jawatan Naib Presiden.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dipilih bagi jawatan Ketua Srikandi manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham pula dipilih secara rasmi sebagai Ketua Armada BERSATU.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI