Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Selasa – Majlis kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara bersetuju melepaskan dan menarik semua penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta-merta.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat MKT UMNO yang berlangsung malam tadi, selaras dengan Fasal 10.6 dan Fasal 5.3 Perlembagaan UMNO.
“MKT sebulat suara untuk melepaskan dan menarik semula penggantungan ekahlian Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta selaras dengan Fasal 10.6 dan Fasal 5.3 Perlembagaan UMNO,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sebelum ini, keahlian Tajuddin digantung selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti.
Susulan itu, beliau mengemukakan rayuan sebanyak empat kali, namun tidak mendapat maklum balas daripada parti.
Sementara itu, Asyraf berkata, kerajaan Madani yang genap dua tahun mentadbir negara terbukti menjadi formula ampuh berteraskan semangat perpaduan dan kepelbagaian kaum dan agama.
Katanya, ia perlu terus didokong dan dipertahankan demi kesejahteraan rakyat dan keharmonian negara.
“Ahli Mesyuarat bersepakat meminta supaya segala usaha untuk memperkukuh dan memperatkan lagi hubungan di kalangan parti politik dalam Kerajaan Perpaduan untuk terus dipertingkatkan.
“MKT juga meminta semua wakil UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sama ada memegang amanah parti dalam Jemaah Menteri mahupun agensi dan syarikat berkaitan kerajaan mesti terus meningkatkan prestasi kerja dengan cemerlang demi rakyat dan negara,” ujar beliau.
Tambahnya, UMNO juga akan memulakan Sekolah Politik yang akan dibuka kepada semua rakyat Malaysia bermula awal tahun hadapan memfokuskan kepada ilmu-ilmu asas kenegaraan, perlembagaan, dinamika politik demokrasi, politik khidmat dan bakti kepada rakyat.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI