Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Selasa – Negara haram Israel meneruskan serangan di Beirut mengakibatkan kematian 29 orang awam termasuk kanak-kanak.
Jurucakap keselamatan Lubnan berkata, serangan kali ini disifatkan sebagai dasyat apabila Israel dipercayai menggunakan bom pemusnah ‘bunker’ yang mengakibatkan kerosakan teruk di bandar itu.
Berdasarkan laporan media antarabangsa, Israel mensasarkan serangan terhadap sebuah bangunan kediaman bertingkat di kawasan Basta, Beirut yang merupakan kawasan berpendudukan padat.
Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan, angka terkorban disahkan ialah 20 orang, namun percaya jumlah itu adalah lebih tinggi.
Jelas kementerian itu, pasukan misi operasi mencari dan menyelamat terpaksa bekerja tanpa henti sehingga lewat Ahad sejak Isnin lalu bagi mencari kesemua mangsa yang berada di timbunan bangunan yang musnah akibat diserang rejim Israel.
Menurut pasukan penyelamat yang masih berada di lokasi pada petang Isnin, harapan untuk menemukan mangsa yang masih hidup sangat tipis.
Menurut Ketua unit penyelamat, Hassan Yassin, menyatakan bahawa mereka menemukan mayat dalam keadaan ngeri, termasuk kepala tanpa badan dan anggota tubuh berselerak.
Seorang penyelamat muda, Jaafar, mendedahkan mereka telah menemukan tiga mayat kanak-kanak dan pasangan tua yang mati di atas kerusi roda.
Dia menegaskan bahawa ini adalah pemandangan paling buruk yang pernah mereka saksikan sepanjang operasi penyelamatan.
Angka terkini rakyat Lubnan disahkan terbunuh sudah mencapai lebih 3,759 orang yang maut sejak peperangan rentas sempadan mula tercetus pada tahun lalu.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI