Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Isnin – Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) sudah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 November lepas, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Beliau berkata, RUU itu dijangka akan dibentangkan dalam Mesyuarat Parlimen pada bulan depan.
“Dalam cadangan pindaan kepada Akta 588, evolusi teknologi dan peningkatan tahap penggunaan serta kebergantungan kepada teknologi telah diteliti dan diambil kira.
“Ia bagi menangani ancaman di alam siber termasuk isu penyebaran maklumat palsu melalui platform dalam talian sehingga menyebabkan kemudaratan kepada pengguna,” katanya pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin yang meminta nyatakan sama ada kerajaan bercadang menggubal undang-undang yang komprehensif, inklusif dan sesuai dengan peredaran zaman berkenaan penyebaran maklumat palsu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan juga akan membentangkan RUU Keselamatan Dalam Talian dalam masa terdekat.
Katanya, ia bertujuan mengekang aktiviti jenayah di media sosial termasuk berita palsu.
“Selain itu, terdapat juga peruntukkan di bawah kementerian lain seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dikuatkuasakan untuk mengekang penularan berita palsu.
“Kementerian Komunikasi juga telah menubuhkan pasukan khas menangani berita palsu pada 1 Disember 2022 bertujuan memantau berita palsu yang mempunyai kesan negatif terhadap sistem politik, ekonomi, sosial, agama, budaya, keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
Beliau berkata, pasukan khas itu dijenamakan semula kepada Pasukan Khas Menangani Berita Palsu dan 3R mulai 6 April 2023.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 21,156 kandungan palsu telah diturunkan penyedia platform media sosial sepanjang 2022 hingga 15 November lepas.
Beliau berkata, tindakan itu berdasarkan pertimbangan dan penilaian oleh penyedia platform terbabit mengikut standard komuniti yang ditetapkan.
“Bagi tindakan penguatkuasaan, sebanyak 198 kes bagi elemen palsu telah disiasat.
“Daripada jumlah itu, sebanyak lima kes didakwa oleh Jabatan Peguam Negara dan dijatuhkan hukuman,” tambahnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI