Oleh: Wartawan Pertiwi
BANGI, Isnin – Israel dengan sistematiknya menyasarkan pelan melumpuhkan hospital di Gaza sepenuhnya sehingga mengakibatkan lebih 1,000 doktor dan jururawat dibunuh sejak 7 Oktober tahun lepas.
Pejabat Media Gaza mendedahkan, lebih 310 anggota perubatan pula ditangkap, diseksa dan dihukum mati di penjara.
Lapor kenyataan itu lagi, rejim haram Israel turut menyekat sepenuhnya kemasukan bekalan perubatan, delegasi pakar kesihatan dan ratusan pakar bedah ke Gaza.
“Hospital menjadi sasaran tentera Israel, yang mengebom, mengepung dan menyerbu fasiliti kesihatan itu, membunuh doktor dan jururawat, serta mencederakan yang lain selepas disasarkan secara langsung,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Pengarah Hospital Kamal Adwan, Hussam Abu Safiyah turut dilaporkan cedera dalam satu serangan udara yang disasarkan rejim haram Israel sehingga memusnahkan sekitar kawasan hospital tersebut pada Sabtu lalu.
Pada masa yang sama, angka terkini pembantaian beramai-ramai oleh Israel telah menyebabkan sebanyak 44,211 rakyat Palestin dibunuh manakala 104,567 lagi mengalami kecederaan sejak 7 Oktober tahun lalu.
Sumber: BERNAMA
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI