Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Khamis – Kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan baru-baru ini memberi pendedahan untuk melihat sendiri dan memahami model pendidikan terbaik di negara Islam moden yang disegani di peringkat antarabngsa, kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
KPM berkata, susulan daripada rombongan itu, delegasi Afghanistan telah menyatakan hasrat menjadikan Malaysia sebagai rujukan amalan terbaik dalam membangunkan dasar pendidikan di negara berkenaan khususnya daripada aspek pembangunan kurikulum, latihan dan pembangunan guru serta teknologi pendidikan.
katanyam, komitmen KPM adalah selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu yang bersedia meningkatkan kerjasama dengan Afghanistan.
“Pada masa sama, hak pendidikan tidak boleh dinafikan.
“Justeru, Malaysia komited dan mendukung penuh hak pendidikan wanita serta akses pendidikan kepada kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu adalah susulan gesaan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang menuntut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan kunjungan delegasi Afghanistan pimpinan Taliban ke kementerian itu pada awal bulan ini.
Mengula lanjut, KPM berkata, program kunjungan itu dilaksanakan berdasarkan panduan dan nasihat Kementerian Luar Negeri.
Katanya, ia turut mendapat khidmat sokongan daripada kementerian dan agensi lain berkaitan bagi tujuan tapisan keselamatan dan pemantauan berterusan sehingga program selesai.
“Kunjungan ini adalah suatu usaha untuk menyokong hala tuju pendekatan dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan.
“Kerajaan bersedia memberikan bantuan dari segi pembangunan kapasiti dalam bidang kesihtan dan kemanusiaan yang akan menyumbang kepada kemajuan sosial negara itu,” ujarnya.
KPM berkata, menerusi kunjungan itu, KPM telah melaksanakan pembentangan yang memberi gambaran menyeluruh sistem pendidikan negara termasuk berkenaan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan wanita di Malaysia.
Jelasnya, ia memperlihatkan sistem pendidikan negara yang inklusif serta tumpuan kepada peningkatan akses dan ekuiti merentasi status sosial ekonomi, gender, etnik dan geografi.
“Ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4: Pendidikan Berkualiti termasuk untuk menghapuskan kesejangan jantina dan memastikan akses sama rata dan menyeluruh di semua peringkat pendidikan,” tambahnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI