Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Khamis – Sekurang-kurangnya 88 rakyat Palestin mati dibunuh dalam dua serangan udara rejim haram Israel yang disasarkan di kawasan kediaman terletak di utara Gaza pada awal pagi hari ini.
Kegilaan ini menyebabkan situasi di Hospital Kamal Adwan di Bandar Beit Lahia sesak apabila kebanyakan mangsa cedera dan mayat dibawa ke hospital berkenaan.
Berdasarkan laporan Agensi Anadolu, operasi mencari dan menyelamat tersebut semakin sukar apabila segala infrastruktur bantuan kecemasan Pertahanan Awam Palestin dimusnahkan oleh tentera Israel.
Sumber Perubatan Palestin pula mengesahkan, serangan udara yang pertama mengakibatkan kira-kira 66 orang termasuk wanita dan kanak-kanak maut ketika berada di kawasan yang berhampiran hospital berkenaan.
Saksi yang berada di lapangan memberitahu Anadolu bahawa puluhan rumah di kawasan sekitar Kamal Adwan tersebut telah musnah sepenuhya manakala sebilangan rumah yang lain mengalami kerosakan yang teruk akibat serangan udara rejim haram Israel.
Manakala serangan kedua pula mengakibatkan 22 rakyat Palestin maut ketika Israel menyerang di kawasan kejiranan Sheikh Radwan di utara, Gaza.
Dilaporkan 10 kanak-kanak beserta lima wanita maut ketika serangan yang dilancarkan itu disasarkan ke rumah Keluarga Al-Arouqi berdekatan di kejiranan berkenaan.
Kata saksi itu, telah memusnahkan sebuah bangunan enam tingkat milik keluarga Al-Arouqi, menyebabkan ramai yang terkorban dan ramai lagi hilang di bawah runtuhan.
Israel melancarkan jenayah pembunuhan beramai-ramai ke atas Gaza, yang kini mengorbankan hampir 44,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, malah mencederakan lebih 104,000 rakyat Palestin yang tidak berdosa sejak 7 Oktober tahun lalu.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI