Oleh: Wartawan Pertiwi
BANGI, Khamis – Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu yang menyeru gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal di Semenanjung Gaza.
Lapor Agensi Anadolu, resolusi itu turut menggesa pencegahan kebuluran dalam kalangan penduduk Palestin.
Resolusi tersebut dibuat hasil kesepakatan oleh beberapa negara iaitu Algeria, Ecuador, Guyana, Malta, Mozambique, Korea Selatan, Sierra Leone, Slovenia, dan Switzerland.
Namun, resolusi tersebut hanya menerima 14 undian sahaja.
Berdasarkan laporan tersebut, resolusi berkenaan menyeru gencatan senjata segera, tanpa syarat, dan ia kekal perlu dihormati oleh semua pihak, pembebasan semua tahanan tanpa sebarang syarat dan menggesa PBB untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam mengekalkan keamanan seantero dunia.
Jelasnya, draf resolusi itu juga menolak sebarang usaha untuk menyebabkan penduduk Palestin kebuluran serta menyeru penyediaan bantuan kemanusiaan sepenuhnya, dengan cepat, selamat, dan tanpa halangan, secara besar-besaran ke Gaza dan di seluruh kawasan itu.
Selain itu, ia menggesa semua pihak mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, khususnya berkaitan perlindungan orang awam dan infrastruktur awam, serta menuntut pelaksanaan Resolusi 2735 Majlis Keselamatan, yang merangkumi peruntukan mengenai tawanan, tahanan Palestin, dan pengunduran tentera Israel dari Gaza.
Resolusi itu turut meminta Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres melaporkan pelaksanaannya dan menjalankan penilaian keperluan menyeluruh untuk Gaza dalam tempoh 90 hari.
Bagaimanapun, veto AS menghalang pelaksanaan langkah-langkah berkenaan.
Menjelang veto yang dijangka dilakukan AS, Anadolu melaporkan Carolyn Rodrigues-Birkett, wakil Guyana ke PBB, berkata bahawa resolusi yang dibentangkan di hadapan Majlis adalah hasil rundingan beberapa minggu antara semua anggota Majlis Keselamatan PBB.
Katanya, Ia didorong oleh keprihatinan mendalam Majlis terhadap situasi kemanusiaan yang dahsyat di Gaza, termasuk apa yang berlaku di Utara Gaza, dan keperluan untuk tindak balas segera terhadap situasi itu.
Timbalan Wakil AS ke PBB, Robert Wood, selepas pengundian berkata, AS tidak boleh menyokong resolusi draf gencatan senjata tersebut tanpa syarat yang tidak meletakkan jaminan pembebasan tawanan.
“ Penghentian perang secara berkekalan mesti disertai dengan pembebasan tawanan, “
“Secara ringkasnya, resolusi ini akan menghantar mesej berbahaya kepada Hamas, tiada keperluan untuk kembali ke meja rundingan,” katanya.
AS turut mendakwa Hamas dengan mentahnya telah menolak perjanjian gencatan senjata tersebut.
Terdahulu, AS sebelum ini telah tiga kali menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan yang menyeru gencatan senjata segera di Gaza pada Oktober 2023, Disember 2023, dan Februari.
Sumber: BERNAMA
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI