Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Rabu – Tiada lagi keperluan untuk pihak berkuasa menyemak lesen kenderaan motor (LKM) secara fizikal ketika menjalankan sekatan jalan raya, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata, pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dilengkapi peralatan atau gajet untuk membuat pemeriksaan melalui nombor pendaftaran bagi mengenal pasti status kenderaan yang sedang diperiksa.
Katanya, gajet tersebut disediakan kepada anggota-anggota penguatkuasa.
“Anggota polis atau JPJ tidak dihadkan lagi periksa cukai jalan (yang ditampalkan) pada kereta kerana aplikasi yang terdapat pada telefon bimbit mereka dilengkapi dengan sistem.
“Mereka masukkan sahaja nombor pendaftaran dalam sistem dan akan terpapar sama ada kereta itu ada cukai jalan atau tidak,” katanya ketika sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun yang bertanya sama ada kementerian menyediakan peralatan secukupnya kepada anggota keselamatan ketika mengendali operasi sekatan jalan raya.
Dalam pada itu, Loke berkata, Kementerian Pengangkutan melalui JPJ merancang melaksanakan penambahbaikan aplikasi MyJPJ dengan mewujudkan fungsi notifikasi pemakluman tarikh tamat tempoh LKM.
Katanya, fungsi itu akan dimaklumkan kepada umum apabila siap dibangunkan dan sedia digunakan.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI