Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Selasa – Sebanyak 109 trak bantuan makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada Gaza diserang dan 98 daripadanya dirompak habis-habisan oleh rejim haram Israel.
Menurut Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), konvoi yang membawa bekalan makanan daripada pelbagai agensi termasuklah UNRWA dan Program Makanan Sedunia (WFP) diarahkan oleh Israel untuk melalui sebuah jalan yang tidak dikenali dari lintasan Karem Abu Salem, Shalom ke Gaza sebelum berlakunya siri rompakan berkenaan.
Pada masa yang sama, Pegawai Kanan Kecemasan (UNRWA) Gaza Louise Wateridge pula menyifatkan kejadian rompakan tersebut adalah terburuk di saat Gaza sedang dikepung dan diserang Israel yang telah berlaku lebih 13 bulan lamanya.
“Insiden ini menggambarkan betapa seriusnya cabaran untuk membawa bantuan ke Gaza selatan dan tengah,” kata Wateridge, sambil menambah bahawa beberapa kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.
“Keperluan untuk tindakan segera tidak boleh dipandang ringan; tanpa campur tangan pantas, kekurangan makanan yang semakin teruk akan memburukkan lagi keadaan dan membahayakan lebih dua juta nyawa yang bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan untuk terus hidup,” katanya.
UNRWA tidak menyatakan siapakah pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian perompakan itu.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, Hamas mengecam kejadian tersebut dan menegaskan bahawa sesiapa yang terlibat dalam membantu perompakan itu akan dikenakan tindakan keras.
Manakala Israel pula, mendakwa bahawa mereka tidak menghalang kemasukan bantuan berkenaan dan melakukan segala usaha untuk memastikan bantuan kemanusian serta makanan dapat sampai ke Gaza.
Namun, seorang pegawai bantuan PBB pada Jumaat lalu menyatakan bahawa akses bantuan ke Gaza telah mencapai tahap yang sangat rendah, dengan penghantaran ke kawasan utara Gaza yang terkepung hampir mustahil.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI