OIeh: Wartawan Pertiwi
BANGI, Isnin – PAS menolak gesaan Gerakan yang meminta Perikatan Nasional mewujudkan deklarasi untuk bukan Melayu kerana mahu meraih lebih banyak lagi sokongan komuniti Cina terhadap gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak.
Menurut Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Gerakan tidak perlu lagi takut dengan bayang-bayang sendiri dan sering menyalahkan PAS kerana tidak dapat mendapat sokongan kaum Cina.
Ujarnya, PAS bukan lagi parti yang baharu menginjak di dunia politik negara, malah sudah menjadi antara parti tertua dan telah memerintah Kelantan lebih 30 tahun.
Kata beliau, sokongan yang diraih PAS juga semakin kukuh ekoran pencapaian dan integriti yang menjadi teras parti itu.
“Bahkan PAS telah menjadi sebahagian kerajaan Persekutuan sebelum ini dalam gabungan Barisan Nasional dan terakhir dalam PN,” katanya seperti yang dipetik FMT.
Sebelum ini media melaporkan, Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau, menggesa Perikatan Nasional (PN) untuk membuat satu deklarasi buat bukan Melayu bagi mengubah persepsi dan ketakutan komuniti Cina terhadap PAS dalam gabungan parti itu.
Dakwa Dominic Lau, masyarakat bukan Melayu pada ketika ini menzahirkan rasa bimbang dan khuatir terhadap PAD yang menjadi blok parti Melayu terbesar dalam PN serta mempunyai bilangan kerusi terbanyak di Parlimen.
“Kita boleh buat satu deklarasi kepada bukan Melayu, memang bukan Melayu sekarang takut, bimbang dan khuatir, sebab PAS menjadi kuat. Oleh itu, kita boleh buat satu deklarasi.
“BERSATU membela hak orang Melayu, PAS membela hak Muslim, ketika membela hak, masing-masing jangan mempengaruhi hak kaum lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Persidangan Perwakilan Nasional ke-52 di ibu pejabat GERAKAN, Kuala Lumpur pada Ahad.
Sumber: FMT & Berita Harian
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI