Oleh Azzman Jamal
BANGI, Jumaat – Berjaya Food Bhd, pengendali Starbucks Malaysia mencatatkan kerugian bersih RM33.68 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2024, berbanding keuntungan bersih RM19.03 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, prestasi kewangan yang merudum itu disebabkan impak berpanjangan daripada sentimen berhubung konflik di Timur Tengah.
Ini menjadikan suku keempat berturut-turut Berjaya Food alami kerugian akibat aktiviti boikot anti Israel.
Pendapatan syarikat itu turut merosot kepada RM124.19 juta bagi tempoh dikaji berbanding RM278.53 juta sebelumnya.
“Persekitaran makro keseluruhan masih mencabar, namun ada penambahbaikan positif dalam pelaksanaan inisiatif dan program strategik.
“Melangkah ke hadapan, kami kekal optimistik bahawa prestasi operasi akan terus bertambah baik pada suku tahunan akan datang,” katanya.
Selain rangkaian kopi Starbucks di Malaysia dan Brunei, Berjaya Food juga mengendalikan rangkaian Kenny Rogers Roasters (KRR) di Malaysia, serta jenama kafe bakeri Paris Baguette di negara ini di Filipina.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI