Oleh Wartawan TV Pertiwi
Seorang mahasiswa dari Shah Alam, Selangor dipanggil memberi keterangan selepas terlibat dalam aksi dan penjualan video lucah.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata pelajar terbabit disyaki menjual video lucah sendiri bersama seorang wanita melalui aplikasi X.
“Siasatan awal SKMM mendapati kegiatan suspek bermula sejak 2021 dengan memuat naik kandungan lucah sedia ada yang dikongsi pengguna lain di aplikasi sama.
“Modus operandi suspek kemudiannya berubah kepada memuat naik dan menjual video lucah adegan sendiri bersama wanita yang dikenali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
SKMM berkata suspek menjadikan video lucah sebagai sumber pendapatan dan hasil pendapatan bulanannya mencecah sehingga RM3,000 dengan anggaran RM150 setiap video.
Katanya, kegiatan ini dibongkar hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan SKMM berdasarkan aduan awam.
“Hasil daripada operasi pemeriksaan di sebuah premis di Shah Alam, pasukan penguatkuasaan SKMM bertindak menyita satu unit telefon serta kad sim dipercayai milik suspek.
“Turut diambil keterangan adalah rakan suspek, seorang wanita yang merupakan pelajar institusi pengajian swasta,” katanya.
SKMM berkata tindakan menjual video lucah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sekiranya sabit kesalahan, hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI