Oleh Wartawan TV Pertiwi
Kegagalan Fashion Valet (FV) dikaitkan dengan beberapa faktor di luar jangkaan termasuk implikasi penularan Covid-19, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, ketika FV ingin mencapai aspirasi untuk menjadi platform membeli-belah pelbagai saluran, ia telah menambah bilangan fizikal secara pesat.
Bagaimanapun, katanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menghalang perniagaan fizikal FV dan mengakibatkan pasaran pakaian premium termasuk tuduh merosot dengan ketara.
“Malah, kedai fizikal yang kurang mendapat sambutan juga terpaksa ditutup,” katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid yang meminta kerajaan menyatakan faktor kegagalan FV selepas menerima pelaburan menerima pelaburan daripada Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Mengulas lanjut, Amir berkata, faktor lain yang menyumbang kegagalan FV ialah perubahan trend platform fesyen e-dagang yang menyebabkan FV berdepan saingan hebat apabila berlaku perkembangan pesat jenama fesyen tempatan yang menggunakan saluran jualan e-platform tersendiri dan saluran alternatif mudah akses seperti Facebook.
Katanya, disebabkan situasi ini,m platform FV terpaksa ditutup dan seterusnya FV beralih fokus kepada jenama sendiri iaitu dUCK dan LILIT.
“Semua cabaran ini telah menyebabkan kekangan aliran tunai kepada FV. Ia berusaha mengumpulkan dana baharu untuk menangani masalah ini tetapi pemegang saham sedia ada termasuk Khazanah dan PNB tidak bersetuju untuk mengambil risiko tambahan.
“Malah, pasaran pengumpulan dana yang mencabar pada ketika itu menyebabkan proses pengumpulan dana dijalankan FV tidak berjaya,” ujarnya.
Sementara itu, Amir menegaskan, kerugian yang dialami FV tidak sedikit pun mematahkan semangat untuk terus melabur dalam syarikat pemula.
Beliau berkata, bagi mengelak insiden sama berlaku, Khazanah sudah menyediakan dana bagi memacu pertumbuhan modal teroka di Malaysia.
“Isu FV ini tidak akan menjejaskan keinginan Khazanah untuk terus melabur dalam syarikat pemula. Pelaburan modal teroka masih kekal dalam mandat Khazanah.
“Khazanah akan meneruskan usaha untuk menyokong ekosistem syarikat pemula dan modal teroka sambil menambah baik mekanisme kawalan.
Khazanah sudah menyediakan suatu dana khusus melalui Dana Impak dengan tujuan melabur bagi meningkatkan daya saing ekonomi dan membina daya tahan negara,” katanya.
Amir berkata, Dana Impak yang diperuntukkan RM1 bilion melalui penubuhan Jelawang Capital akan memacu pertumbuhan ekosistem modal teroka di Malaysia.
“Dalam konteks ini, wajar bagi Khazanah untuk terus melabur dalam ekosistem modal teroka, selaras dengan mandat ekonomi Madani, bagi menyokong pembangunan ekonomi negara.
“Pelaburan modal teroka memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dan membantu negara beralih ke status berpendapatan tinggi.
“Pelaburan modal teroka bersifat tiada kepastian. Matlamatnya untuk pertumbuhan, walaupun risikonya tinggi tetapi sekiranya berjaya berpotensi menjana keuntungan tinggi,” katanya sebagai maklum balas kepada soal tambahan dikemukakan Syerleena.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI