ATM tambah pegawai, anggota LLP pantau pegawai kadet di ALK-UPNM

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat

Oleh Azzman Jamal

 

BANGI, Khamis – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menambah perjawatan pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) untuk ditugaskan di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK)  Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebagai langkah mencegah kes buli pada masa hadapan.

 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah pegawai telah ditambah kepada 48 orang daripada 31 pegawai sebelum ini manakala jumlah anggota LLP pula ditambah kepada 182 orang daripada 124 orang sebelum ini.

 

Katanya, daripada jumlah keseluruhan itu, 24 pegawai dan 48 anggota LLP dilantik sebagai jurulatih bagi meringankan beban seorang jurulatih untuk memantau 20 orang pegawai kadet dengan nisbah 1:20.

 

Beliau berkata, penambahan jumlah jurulatih itu juga membolehkan pecahan untuk kawalan pentadbiran pegawai kadet dibuat dalam kumpulan yang lebih kecil iaitu daripada empat batalion kepada lapan kompeni.

 

“Satu batalion dengan jumlah maksimum 320 pegawai kadet kepada hanya 150 pegawai kadet bagi tujuan pemantauan rapi. 

 

“Selain itu, tempoh perkhidmatan pegawai dan LLP yang ditempatkan di ALK-UPNM juga dihadkan kepada antara tiga hingga empat tahun untuk menentukan prestasi sebagai jurulatih sentiasa di tahap tertinggi.

 

“Semua jurulatih yang ditugaskan di ALK-UPNM perlu menghadiri dan lulus Lembaga Pemilihan dan Penempatan Jurulatih (LPPJ) serta bebas daripada masalah disiplin,” katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail yang meminta kerajaan menyatakan usaha dan kaedah sedang dilakukan Kementerian Pertahanan bagi memastikan kegiatan buli di UPNM dinoktahkan.

 

Mengulas lanjut, Khaled berkata, pihak ATM juga telah melaksanakan beberapa inisiatif lain seperti menetapkan seorang jurulatih bertugas bagi setiap kompenio bagi membolehkan pemantauan pegawai kadet dengan lebih teliti.

 

Katanya, jurulatih bertugas telah diarahkan untuk melakukan rondaan ke penginapan pegawai kadet selepas pukul 11.59 malam setiap hari.

 

“Bermula Februari 2023, sebanyak tujuh kamera litar tertutup di beberapa aras blok penginapan dipasang bagi mensan aktiviti yang mencurugikan.

 

“Kementerian sedang merancang untuk menambah jumlah ini mengikut keperluan dan kesesuaian,” ujarnya.

 

Jelas Khaled, larangan terhadap aktiviti penderaan sememangnya dikuatkuasakan dalam Perintah Tetap Pegawai Kadet sejak penubuhan ALK dan sentiasa diulangi dalam perintah harian kompeni, malah tindakan pemberhentian akan dilaksanakan terhadap pegawai kadet yang didapati bersalah.

 

Selain itu, Khaled berkata, bermula April lalu, pengasingan pegawai kadet tahun satu telah dilakukan di Bukit Putera yang mana mereka diletakkan di bawah kelolaan jurulatih sepenuhnya memendangkan golongan itu biasanya menjadi sasaran buli.

 

“Pemeriksaan fizikal berkala kepada pegawai kadet dilaksanakan bagi mengesan sebarang aktiviti penderaan yang boleh mendatangkan kecederaan.

 

“Sesi pertemuan di antara pegawai kadet dan pihak tertinggi ALK-UPNM secara eksklusif diadakan untuk memberi ruang bebas tanpa perasaan takut atau sebagainya bagi mendapatkan maklumat salah laku dalam kalangan pegawai kadet.

 

“Ia bagi mengatasi isu keengganan pegawai kadet melapor kejadian yang tidak sepatutnya,” tambah beliau

 

IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Wanita maut dihempap kontena, pemandu tunjuk ‘peace’ di mahkamah

Next Post

Kegagalan Fashion Valet dikaitkan dengan faktor luar jangkaan – Menteri

Related Posts