Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Khamis – Ajaran yang disebarkan Ketua Pegawai Eksekutif, Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdh. Bhd (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali serta pengikutnya diisytiharkan sesat dan menyimpang daripada ajaran agama Islam.
Perkara itu diputuskan menerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ketika bersidang pada 24 hingga 26 September bagi membincangkan mengenai kajian isu-isu akidah, syariah dan akhlak tasawuf dalam GISBH.
Pengerusinya, Datuk Dr Nooh Gadut berkata, antara fahaman menyeleweng yang diamalkan oleh kumpulan itu ialah menyatakan Asy Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi atau Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai Imam Mahdi, manakala pengasas al-Arqam, Asaari Muhammad, dianggap pembantu Imam Mahdi di akhir zaman.
Menurut beliau, ciri-ciri lain ialah percaya Asaari Muhammad boleh memberi syafaat kepada pengikutnya serta air basuhan dan rendaman pemimpin mempunyai berkat.
“Selain itu, mengamalkan ekonomi ma’ash yang mempunyai unsur perhambaan yang maan keperluan pengikut akan ditanggun sepenuhnya oleh syarikat dan sebagai balasan, mereka dikehendaki berkhidmat secara sukarela tanpa upah.
“Mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang telah difatwakan sesat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, katanya, mana-mana individu yang berpegang kepada ajaran tersebut hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha.
Tambah Nooh, orang ramai juga dilarang memiliki, menyimpan, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebarkan, mengedarkan, atau menerbitkan poster, buku, majalah, risalah, atau bahan bacaan lain dalam apa jua bentuk.
Katanya, larangan ini merangkumi bahan yang dicetak, ditaip atau ditulis, serta semua jenis keluaran termasuk filem, audio visual, rakaman, laman sesawang dan media cetak atau elektronik.
Pada masa yang sama, JAKIM telah mempersembahkan berhubung perkara ini kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
“Majlis mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa negeri-negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan media yang dimuat naik oleh JAKIM di Facebooknya hari ini.
Susulan itu, MKI mencadangkan kepada agensi kerajaan persekutuan dan negeri membantu melaksanakan proses istitabah (bertaubat) dan memberikan peruntukan atau pembiayaan bersesuaian bagi tujuan berkenaan.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI