Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Rabu – Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak mempunyai Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang dikategorikan sebagai MRSM elit, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Beliau berkata, buat masa ini terdapat 57 MRSM yang sedang beroperasi yang mana semuanya melaksanakan kurikulum standard kebangsaan dan menjalankan beberapa program nilai tambah.
“Terdapat lima program sistem pendidkkan MRSM iaitu Bitara, UIul Albab, IGCSE, Teknikal dan Primer.
“Syarat kemasukan pelajar ke MRSM ialah calon, ibu dan atau bapa kandung adalah warganegara Malaysia, permohonan calon secara dalam talian, perlu menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) serta mendapat keputusan cemerlang dan ibu bapa atau penjaga tidak disenarai hitam,” katanya pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor yang meminta kerajaan menyatakan berapa bilangan MRSM elit di negara ini yang dikhaskan untuk golongan tertentu sahaja dan syarat kemasukan ke MRSM elit.
Mengulas lanjut, Rubiah menjelaskan MRSM Bitara merupakan kategori yang memuatkan pelajar-pelajar cemerlang dengan kelayakan sekurang-kurangnya 4A.
“Maksudnya dalam sistem pendidikan, pelajar-pelajar yang cemerlang dikategorikan dan diletakkan dalam satu MRSM, mereka tidak campur dengan pelajar-pelajar daripada kategori yang lain dan hanya berlaku persaingan diantara mereka sahaja,”
“Oleh itu, kita tak kategorikan ia sebagai MRSM Elit dan ia tidak wujud,”
Selain itu katanya, bagi kategori premier pula secara keseluruhannya mengikut skop pendidikan yang berteraskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Manakala bagi Ulul Albab pula menekankan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan juga aliran agama termasuk tahfiz.
“Program IGCSE pula adalah berdasarkan kurikulum kebangsaan yang mempunyai kerjasama bersama Cambridge IGCSE,” tambahnya
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI