Oleh Azzman Jamal
BANGI, Rabu – Ahli Parlimen dilarang menggunakan perkataan ‘kurang ajar’ ketika berbahas dalam persidangan Dewan Rakyat bermula hari ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegaskan semua Ahli Parlimen memandang serius perkara itu selepas perkataan itu kini disifatkan sebagai tidak berparlimen.
Ketetapan itu dibuat beliau sebagai maklum balas terhadap surat yang ditulis oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang memohon penjelasan mengenai penggunaan perkataan tersebut pada minggu lalu.
“Jadi, setelah meneliti semua perkara-perkara yang telah terjadi di dalam Dewan ini pada hari tersebut dan setelah merujuk kepada Kamus Dewan Keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka 2007 Edisi Keempat, kurang ajar bermaksud tidak sopan, buruk atau kasar budi pekertinya.
“Oleh demikian, mulai hari ini, saya tidak membenarkan mana-mana Ahli Parlimen menggunakan perkataan ‘kurang ajar’,” katanya di Dewan Rakyat hari ini sebaik bermulanya persidangan sesi petang.
Ditanya sama ada Ahli Parlimen dibenarkan meletakkan perkataan ‘jangan’ sebelum ‘kurang ajar’ sebagai melarang mana-mana pihak yang menggunakan perkataan itu, Johari menasihatkan supaya semua memilih perkataan yang lain secara menyeluruh.
“Isunya, pilihlah perkataan lain sebab ia akan menimbulkan masalah sebab saya katakan perkataan itu sendiri yang dinyatakan dalam kamus, ia melambangkan seseorang itu buruk budi pekertinya atau tidak sopan,” katanya yang menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI