Oleh Wartawan TV Pertiwi
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 masing-masing kepada tiga pesalah wanita.
Hakim, Norina Zainal Abidin menjatuhkan hukuman itu kepada Adibah Mohd Zaini, 35, Nor Azlin Fatin Najihah Lokman, 25 dan seorang lagi wanita yang merupakan ibu kepada mangsa.
Tiga wanita itu turut diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 240 jam selama enam bulan sebaik selesai menjalani hukuman bermula hari ini, lapor Harian Metro.
Mereka yang mengaku bersalah menganiaya seorang kanak-kanak lelaki turut dikenakan bon RM10,000 berkelakuan baik untuk tempoh lima tahun.
Ibu mangsa, 20, didakwa meletakkan mangsa yang berusia tiga tahun di dalam sangkar di dapur rumah rakannya di Taman Danau Desa pada 23 Februari lalu.
“Saya terpaksa letak anak dalam sangkar kerana perlu bekerja,” katanya ketika merayu di hadapan hakim agar tidak dipenjara.
Tiga wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31 dan Seksyen 34 Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun.
Berdasarkan fakta kes, tiga tertuduh itu bersama-sama menganiaya mangsa dengan menendang dan menyebabkan kecederaan fizikal.
Adibah didakwa menendang kanak-kanak itu beberapa kali sambil dirakam Nor Azlin manakala ibu mangsa membiarkan kejadian itu.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI