Oleh Wartawan TV Pertiwi
Presiden MCA menggesa Rafizi Ramli mengakui bahawa kos pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU) berjumlah RM85.27 juta.
Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Menteri Ekonomi tidak boleh terus berdiam diri selepas mendakwa kos berkenaan bukan daripada pihaknya.
“Jangan cari helah. Kalau sudah silap mengaku sajalah. Tidak mungkin jatuh pun status jawatan menteri kamu.
“Saya tidak hairan jika Rafizi menganggap dirinya sebagai seorang insan yang terpaling cerdik di dunia tetapi janganlah menganggap rakyat termasuk saya ini bodoh,” katanya.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu mengulas kenyataan Rafizi yang mendakwa kos RM85.27 juta itu datang daripada pihak Wee dalam perbahasan Dewan Rakyat Rabu lalu.
Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan mengatakan kos itu dikeluarkan Kementerian Ekonomi menerusi dua jawapan bertulis pada Julai lalu.
Wee berkata sikap Rafizi yang berterusan berdiam diri mengundang persoalan sama ada media akan menjadi mangsa untuk dipersalahkan selepas ini.
“Wahai Rafizi yang bijaksana, sudah terang lagi bersuluh bahawa angka RM85.27 juta sebagai kos pembangunan PADU datangnya daripada kamu sendiri.
“Sekarang hendak salahkan pegawai pula? Kamu sebagai menteri tidak semak dan teliti dalam kerjakah? Kenapa dengan mudah kamu salahkan orang lain?
“Selepas ini, hendak salahkan media pula sebab nyatakan angka RM85.27 juta? Suara Keadilan pun melaporkan perkara sama, adakah Rafizi akan salahkan mereka juga?” soalnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI