Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Jumaat – Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) di negara ini umpama satu penghinaan dan penderhakaan buat rakyat di negara ini.
Penasihat Hal Ehwal Strategik Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Mohd Khoushaini Mohd Naim berkata, cadangan untuk mendesak kerajaan mengiktiraf UEC dibimbangi akan memberi kesan buruk kepada perpaduan dan kedaulatan negara.
Menurut beliau, pengiktirafan UEC juga adalah bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.
“Dasar ini harus diyakini rakyat dalam memajukan negara bukannya diendahkan.
“Apa yang kita boleh lihat, UEC merendahkan martabat bahasa Melayu kerana menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar. Jika diiktiraf, ia umpama satu penderhakaan dan penghinaan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas dari aspek silibus, beliau berkata, UEC mengambil sukatan pelajarannya dari Taiwan dan tidak relevan untuk negara mempunyai dua sistem pendidikan.
Malah, katanya, tidak adil kepada rakyat Malaysia yang setia mengikuti sistem pendidikan negara sedia ada.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita harus meneliti sebab UEC tidak diiktiraf di Malaysia selagi mana Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) tidak mahu mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Kementerian Pendidikan Malaysia juga bertegas tidak mengiktiraf UEC kerana Dong Zong tidak mahu mematuhi kehendak kerajaan untuk selaraskan silibus mata pelajaran bernegara terutama Sejarah dan bahasa Melayu sama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Justeru, UEC hanya akan memberi kesan buruk terhadap perpaduan kaum serta mencabar kedaulatan negara sekali gus menjejaskan keharmonian negara apabila jurang perbezaan di kalangan kaum akan semakin besar,” katanya sambil menambah situasi ini juga dianggap satu kerugian kepada kaum CIna yang telah mengikuti sistem pendidikan sedia ada.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas perjumpaan antara Dong Zong bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang meminta supaya UEC diiktiraf selain mengutarakan beberapa tuntutan lain.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI