Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Jumaat – Enam anggota MALBATT 850 cedera dalam satu insiden letupan di Lubnan semalam.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malam tadi, kejadian berlaku pada jam 1.54 tenghari (waktu Lubnan) atau 7.54 malam waktu Malaysia ketika pergerakan anggota terbabit dari Beirut ke Kem Marakah.
Katanya, letupan tersebut telah menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.
“Akibat kejadian tersebut, lima anggota MALBATT 850-12 seorang anggota MALBATT 850-11 mengalami kecederaan ringan.
“Anggota yang cedera di tangan telah dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan MALBATT 850-11,” katanya.
Tambahnya, ATM akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan rapi dan akan memaklumkan kemas kini berkaitan insiden dari masa ke semasa.
“ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” ujarnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI