Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, Khamis – Lima individu termasuk seorang kerabat diraja Pahang, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan pisau pada Jun lalu.
Kelima-lima tertuduh merupakan, Nik Norhisham Affendi Nik Mohd Zani, 39; Mohd Fouzi Md Nur, 44; Mohd Taufik Daud, 32 dan Khairul Azhar Rosli, 38.
Seorang lagi tertuduh Tengku Eddie Akasya Tengku Abd Rahman, 20, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.
Eddie Akasya merupakan anak saudara kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa mencederakan Alias Awang, 44, di bahagian paha kanan menggunakan sebilah pisau.
Kejadian berlaku di sebuah bangsal kuda di Jalan Teluk, Kuantan, Pahang pada 6 Jun lalu dengan tertuduh didakwa di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum sepuluh tahun, denda, sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Negeri, Sharizat Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam diketuai Y Sheelan Samuagam.
Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 seorang, dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.
Kes akan disebut pada 11 Disember ini.
Sumber: Awani
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI