Oleh Wartawan TV Pertiwi
PAS hari ini mengucapkan tahniah kepada kerajaan perpaduan kerana berjaya melahirkan usahawan muda berpengaruh seperti Datuk Seri Farhash Wafa Salvador.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata kejayaan itu “membanggakan” kerana tersenarai dalam 100 usahawan muda paling berpengaruh di Malaysia.
“Tahniah anak muda! Antara kejayaan kerajaan hari ini melahirkan usahawan berjaya dengan masa singkat!” coretnya di Facebook miliknya hari ini.
Ahmad Fadhli mengulas kejayaan Farhash yang memenangi anugerah itu buat kali kedua dalam majlis yang diadakan minggu lalu.
Anugerah itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang membabitkan lebih 900 penyertaan bagi merebut kategori sama.
Farhash yang juga bekas setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mac lalu mencuri tumpuan apabila menjadi pemegang saham terbesar HeiTech Padu.
Bekas pemimpin PKR itu membeli 15.91 peratus pegangan dalam HeiTech Padu melalui syarikatnya Rosetta Partners Sdn Bhd.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI