Oleh Kamil Awang
KUALA LUMPUR, 6 Nov — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menggesa kerajaan lebih telus dalam memgumumkan bidaan kontrak atau tender tertentu.
Presidennya, Syed Hassan Syed Ali berkata kontraktor tempatan perlu dimaklumkan jika syarikat berkaitan istana turut bersaing merebut tender kerajaan.
“Kalau mana-mana projek besar melibatkan ratusan juta ringgit, tender itu dipilih secara selektif, beritahu jika syarikat ada kepentingan istana di dalam itu.
“Beritahu supaya syarikat yang tiada kaitan dengan istana boleh tarik diri. Jadi tidak perlu mereka membazir bayar beribu-ribu ringgit untuk dokumen tender.
“Mereka masuk sebut harga tiba-tiba tetap yang dapat syarikat yang ada kaitan dengan istana,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Beliau hari ini membuat laporan polis selepas terdapat pendedahan mendakwa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mempunyai kepentingan dalam U Mobile.
Katanya, Agong tidak dibenarkan menjalankan perniagaan selaras Perkara 34 Perlembagaan Persekutuan.
Syed Hassan berkata dengan makluman awal penglibatan syarikat berkaitan istana dalam tender projek tertentu, masa dan wang ringgit dapat dijimatkan.
“Kalau syarikat terbabit istana masuk tender, beritahu syarikat yang ada kaitan dengan istana masuk, jadi yang lain boleh fikir untuk masuk tender atau tidak.
“Saya banyak kali tengok projek yang babitkan istana ini, kerajaan serba salah hendak tolak atau tidak.
“Jadi biarlah tender yang dimasuki syarikat yang ada kaitan dengan istana diberi sahaja kepada istana,” katanya.
Beliau berkata melalui kaedah itu, tiada pihak yang dianggap menderhaka kepada istana apabila kehendak mereka dipenuhi.
“Tidak usah kita menderhaka kepada istana kerana rakyat tidak perlu berebut dengan istana.
“Biar istana yang peroleh. Kita hormati kehendak istana,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI