Oleh Azzman Jamal
BANGI, Rabu – Kerajaan dijangka akan menjawab isu pemilihan syarikat U Mobile Sdn Bhd sebagai pengendali rangkaian 5G kedua negara di Dewan Rakyat esok.
Perkara itu dikongsikan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menerusi ciapan di X hari ini.
Menurut perkongsian gambar Aturan Urusan Mesyuarat sesi persidangan pada Khamis itu, soalan tersebut dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan akan dijawab oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika Waktu Pertanyaan Menteri.
“Esok, soalan nombor 2 kepada (Ahli Parlimen) Pasir Gudang untuk MQT.
“Lepas Pasir Gudang tanya soalan tambahan, pembangkang pun boleh tanya,” kata beliau.
Terdahulu, beliau memuat naik ciapan itu sebagai maklum balas kepada ciapan oleh pakar automotif, Hezeri Samsuri yang mendesak kerajaan memberi penjelasan berhubung isu tersebut.
Sebelum ini, isu pemilihan U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua negara mengundang kritikan ramai terutama apabila majoriti syarikat itu dimiliki entiti asing.
Ramai turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak memilih syarikat seperti Maxis, CelcomDigi dan Telekom Malaysia yang mana majoriti pegangan adalah milik tempatan.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI