Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Rabu – Sebarang pertuduhan daripada aspek akidah perlu ada ketetapan hukum sebelum ia diteruskan ke peringkat pendakwaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Justeru beliau berkata, keputusan sama ada untuk mendakwa ahli GISB Holdings (GISBH) atas dakwaan meneruskan amalan Aurad Muhammadiyah diserahkan kepada pihak berkuasa terutamanya pendakwa syarie untuk meneliti perkara itu dengan lebih baik.
Beliau menjelaskan, sehingga Oktober lalu, beberapa negeri iaitu Perlis, Pahang, Selangor termasuk Muzakarah MKI telah bersidang dan menetapkan beberapa ketetapan hukum.
“Ketetapan hukum ini yang akan menjadi rujukan, di antaranya untuk melakukan pendakwaan.
“Selain itu, untuk memastikan sebelum pendakwaan dibuat, bukti itu perlu dipastikan kesahihan dan juga kekuatan dari aspek bukti itu sendiri.
“Jadi, dari aspek ini kita serahkan kepada pihak berkuasa terutamanya daripada pendakwa syarie untuk meneliti perkara ini dengan lebih baik,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang bertanya mengapa GISBH yang dituduh meneruskan amalan Aurad Muhammadiyah tidak didakwa atas kesalahan tersebut sebaliknya hanya berdepan dengan tuduhan kumpulan jenayah terancang dan sebagainya.
Mengulas mengenai tempoh tahanan ahli GISBH, Zulkiifli berkata segala tindakan yang diambil terhadap ahli GISBH tidak dilakukan secara semborono kerana ia berdasarkan data dan pelaporan secara berkolaborasi antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta pihak lain.
“Agensi-agensi ini mempunyai SOP dan mengikut lunas undang-undang yang ada dan semua perkata tidak boleh dilakukan secara semberono.
“Maka dengan itu kita memberikan suatu kepercayaan dan keyakinan bahawa agensi ini memainkan peranan sebaiknya selaras untuk melindungi kebajikan semua mereka yang terlibat,” tambah beliau.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI