Oleh Wartawan TV Pertiwi
Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh hairan terdapat bekas pemimpin DAP mempertahankan kerugian Fashion Valet.
Ketua Pemuda UMNO itu berkata kerugian tersebut tidak boleh dibiarkan kerana ia tidak menggambarkan keperitan rakyat.
“Ada lagi yang luar biasa bila ada orang mempertahankannya. Dia ini tahu tidak rakyat dekat bawah ini hendak pinjam RM10,000 buat bisnes pun payah hendak dapat.
“Tidak mengapalah bodoh itu percuma dan teruskanlah kebodohan itu. Oh ya lupa dia ini bekas setiausaha politik menteri kewangan ‘the hidden tunnel’ negara pasir berdengung,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu merujuk kenyataan bekas ahli parlimen DAP Tony Pua yang mempertahankan kerugian Fashion Valet.
Pua berkata konsep pelaburan dalam Fashion Valet semangnya cenderung kepada kegagalan berbanding keuntungan dengan kebiasaannya 20 peratus mendapat pulangan modal.
Katanya, pengkritik kepada syarikat fesyen itu tidak mengemukakan bukti dan hanya memfokuskan kepada kerugian pelaburan.
Dr Akmal minggu lalu menggesa satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kerugian Khazanah Nasional dalam pelaburan Fashion Valet.
Katanya, kerugian Khazanah Nasional tidak boleh diterima kerana Fashion Valet sudah mencatatkan kerugian beberapa tahun sebelum itu.
“Buat bisnes untung rugi adalah perkara biasa tetapi yang luar biasanya adalah meletakkan dana awam yang besar.
“Diberikan kepada syarikat yang mencatatkan kerugian lima tahun berturut-turut sebelumnya,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI