BANGI, Selasa – Malaysia perlu melakukan perubahan yang lebih besar dalam menangani konflik yang berterusan di Gaza termasuk tindakan menyekat ekonomi Israel dengan lebih tegas.
Perkara itu diseru oleh bekas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang yang lebih dikenali sebagai Tian Chua.
Tian Chua berkata, rentetan konflik di Gaza kini sudah sampai ke tahap yang memerlukan Malaysia untuk membuat tindakan lebih lagi kerana definisi genosid yang sebenar sememangnya sedang berlaku di bumi Palestin.
Beliau turut mencadangkan, di peringkat Asia iaitu Malaysia dan negara ASEAN yang lain untuk memaksimumkan potensi ekonomi mereka dengan memberi tekanan yang lebih keras ke atas rejim haram Israel.
Tambahnya, negara-negara yang bersekongkol dengan jenayah Israel turut perlu dipertanggungjawabkan dan dikenakan sekatan ke atas mereka.
Dalam pada itu, beliau turut mengkritik pendekatan selektif komuniti antarabangsa terhadap sekatan, serta berpura-pura dalam sistem perdagangan global, di mana Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap sebahagian besar penduduk dunia, termasuk negara seperti China, Korea Utara, dan Iran.
“Mengapa kita perlu tunduk kepada sistem perdagangan mereka atau intimidasi mereka? Kerajaan mesti memimpin dalam meningkatkan usaha kita untuk memberikan kesan ekonomi demi pembebasan Palestin,” katanya kepada pemberita “Persidangan mengenai Palestin: Meneliti Perspektif Asia di Kuala Lumpur pada Isnin.
Sumber: Bernama
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI