Oleh Wartawan TV Pertiwi
Setiausaha UMNO Johor menggesa Parti AMANAH di negeri itu menyedari kemampuan sendiri sebelum menuntut 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berkata Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan AMANAH sekadar memenangi satu kerusi DUN dan Parlimen.
“AMANAH Johor ini sebenarnya macam tidak sedar diuntung. Dahulu PRU15, AMANAH hanya menang satu kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN sahaja di negeri ini.
“Itu pun bukan sebab AMANAH ini kuat tetapi lebih kepada ihsan DAP. Jadi saya hendak pesan kepada AMANAH Johor jangan sombong kerana mereka hanya parti menempel simpati DAP.
“Tetapi sekarang AMANAH hendak berlagak macam juara. Sibuk mahukan jawatan dan kuasa dalam kerajaan negeri tetapi khidmat kepada rakyat habuk pun tidak ada,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di Facebook miliknya hari ini mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Dzulkefly Ahmad.
Dzulkefly semalam menegaskan AMANAH Johor akan bertanding 20 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya, jumlah kerusi tersebut muktamad sama ada Pakatan Harapan (PH) bertanding sendiri mahupun bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
Abdul Halim berkata AMANAH Johor perlu sedar kewujudan mereka di negeri itu ibarat melukut di tepi gantang yang tidak membawa manfaat kepada pengundi.
Katanya, AMANAH Johor sudah diingatkan berulang kali agar tidak mengeruhkan hubungan BN dan PH di negeri itu.
“Harapkan ada seorang Ahli Parlimen di Pulai dan seorang ADUN di Simpang Jeram tetapi macam tidak ada fungsi.
“Sepatutnya mereka fokus untuk membela dan membantu rakyat seperti BN dan rakan-rakan lain dalam komponen PH.
“UMNO tidak ada masalah untuk berperang dan bertarung dengan AMANAH pada PRN atau PRU16 nanti tetapi ini bukan masanya untuk berpolitik,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI