Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Selasa – Seorang guru bahasa Mandarin, Rafizah Chin Lin mendakwa Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) dan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mahu kerajaan memperkasakan pendidikan sekolah Cina dengan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) di Malaysia.
Menerusi hantaran di Facebook beliau, Rafizah mendakwa kedua-dua pertubuhan itu turut menuntut beberapa perkara seperti peruntukan kerajaan disalurkan kepada pendidikan sekolah Cina, dan menginstitusikan pembinaan sekolah baharu.
Selain itu katanya, perkara yang diminta juga melibatkan pemindahan sekolah ke lokasi lain danU menyediakan latihan perguruan.
“Gerakan pendidikan sekolah Cina harus menggabungkan semua sumber dan kekuatan yang ada untuk mempertahankan dan memperjuangkannya,” katanya yang memetik laporan akhbar Cina Nanyang Siang Pau.
Mengulas lanjut, Rafizah menjelaskan, Hua Zong bersama masyarakat Cina berpendirian untuk sentiasa menyokong dan memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada Dong Zong dan Jiao Zhong demi kepentingan pendidikan sekolah Cina.
“Kekal semangat dan tabah, tidak berganjak dalam mempertahankan pendidikan bahasa ibunda.” ujarnya.
Beliau berkata, pada 28 Oktober lalu, Hua Zong dan Dong Zong mencapai persetujuan terhadap beberapa perkara berkait isu pendidikan negara dan pendidikan sekolah Cina.
Katanya, mereka juga bersepakat menggesa kerajaan untuk menyenaraikan dengan jelas agenda pengagihan peruntukan dana buat pembinaan sekolah baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan beberapa sekolah mereka yang lain dapat dipindahkan ke lokasi lain.
Selain itu, katanya, Hua Zong turut menepis sekeras-keranya penyelarasan kurikulum bahasa Melayu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJK).
“Kedua-dua pihak juga saling bertukar pandangan mengenai situasi dan keadaan politik semasa, isu berkaitan masyarakat dan pendidikan Cina, usaha memperjuangkan pengiktirafan sijil UEC daripada kerajaan serta perihal “Wisma Pendidikan Cina Komprehensif,” jelasnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI