Oleh Kamil Awang
Pemandu Orang Kelainan Upaya (OKU) mendakwa denda RM1,000 yang dikenakan ke atas seorang anggota polis hari ini tidak memadai.
Ong Ing Keong berkata walau hukuman itu membawa sedikit kelegaan namun anggota polis seharusnya berperanan melindungi orang ramai.
“Pendakwaan ini membawa suatu kelegaan. Namun hukuman denda tersebut nampak tidak mencukupi kerana pelaku serangan tersebut adalah seorang pegawai polis.
“Beliau bertanggungjawab untuk melindungi orang ramai dan bukan membawa kemudaratan,” katanya menerusi satu kenyataan oleh peguam, Zaid Malek.
Seorang pengiring polis hari ini didenda RM1,000 kerana menyebabkan kecederaan terhadap Ong di sebuah hotel pada 28 Mei lalu.
Lans Koperal Muhammad Taufik Ismail, 32, membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Farah Nabihah Muhammad Dan.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum setahun penjara atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Zaid berkata berdasarkan kes Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor melawan pendakwaraya, Mahkamah Rayuan ada menyatakan prinsip undang-undang di dalam kes.
“Anggota polis menyerang orang awam, mahkamah mesti menghantar suatu mesej kemarahan orang awam.
“Ia dengan menghukum dengan tegas dan hukuman pemenjaraan perlu dikenakan, walaupun pesalah kali pertama,” katanya.
Beliau berkata walau Ong terpaksa menunggu lama untuk hari pendakwaan, namun beliau tetap berterima kasih kepada pihak yang membantu.
Katanya, Ong mendapatkan sokongan daripada orang awam, akitivis, peguam, pertubuhan serta kumpulan sokongan OKU.
“Pendakwaan yang dilewatkan ini adalah susulan dari satu kempen yang berpanjangan bagi mendapatkan satu keadilan.
“Ong terhutang budi untuk semua sokongan dan keprihatinan orang awam yang beliau terima selama lima bulan lalu,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI