Oleh Wartawan TV Pertiwi
Syarikat penyedia rangkaian, Maxis menuntut penjelasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung pemilihan U Mobile minggu lalu.
Maxis dalam satu kenyataan semalam berkata syarikat itu dipimpin anak tempatan dengan 77 peratus pemilikan saham oleh warga Malaysia.
“Maxis mengambil maklum pilihan SKMM berkenaan pengendali mudah alih yang akan membina dan mengendalikan rangkaian 5G kedua negara.
“Kami akan melibat urus SKMM untuk memahami rasional keputusan mereka dan akan mempertimbangkan pilihan kami selepas perbincangan dengan semua pihak berkepentingan.
“Penglibatan kami yang mendalam melalui kehadiran meluas di Malaysia memastikan bahawa kami sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Maxis mengulas pengumuman SKMM pada Jumaat yang memilih U Mobile untuk melaksanakan pembangunan rangkaian kedua 5G negara.
SKMM berkata pihaknya sudah melaksanakan proses terperinci dari aspek teknikal dan komersial untuk memilih pengendali rangkaian 5G kedua.
Maxis berkata mereka sudah mengemukakan cadangan teknikal dan komersial yang komprehensif sebagai respons kepada jemputan tender SKMM untuk rangkaian 5G kedua.
Katanya, cadangan mereka adalah berdasarkan teknologi 5G-Advanced (5G-A), iterasi 5G seterusnya dengan keupayaan yang dipertingkatkan.
“Maxis bersedia untuk membantu meningkatkan penerimagunaan 5G dalam kalangan perusahaan, salah satu matlamat utama kerajaan.
“Maxis sentiasa menyediakan kesalinghubungan yang pantas, selamat dan boleh dipercayai untuk pengguna, perniagaan dan sektor awam.
“Liputan meluas kami dengan lebih 11,000 tapak mudah alih di seluruh negara boleh dinaik taraf bagi menyampaikan pengalaman 5G yang terbaik dan memacu pembangunan,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI