Oleh Wartawan TV Pertiwi
Kementerian Pengangkutan (MoT) mengarahkan bas yang mengakibatkan seorang remaja maut ketika mengecas telefon digantung operasi.
Menterinya, Anthony Loke berkata tindakan itu diambil bagi membolehkan siasatan dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“MoT memandang serius insiden renjatan elektrik yang mengorbankan seorang remaja semalam semasa mengecas telefon dalam bas ekspres yang dinaikinya.
“Saya sudah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menggantung operasi bas yang terbabit serta-merta untuk siasatan lanjut oleh pihak JPJ.
“Satu pasukan petugas khas yang terdiri daripada JPJ, APAD dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga akan diaktifkan untuk menyiasat punca insiden,” katanya.
Beliau mengulas kejadian mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, yang maut akibat terkena renjatan elektrik.
Allahyarham dilaporkan maut ketika mengecas telefonnya pada soket tempat duduk sebuah bas ekspres.
Kejadian di Terminal bas Penang Sentral itu disedari penumpang sebelum dilaporkan kepada pemandu bas bertugas.
Kes diklasifikasikan mati mengejut selepas bedah siasat dijalankan Hospital Seberang Jaya mengesahkan mangsa maut akibat terkena renjatan elektrik.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI