Oleh Wartawan TV Pertiwi
Sering dipersoalkan kerana enggan mengambil gaji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berseloroh mahu membatalkan hasratnya itu.
Presiden PKR itu berkata hasrat berkenaan pernah disuarakan kepada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana terkilan kecaman pembangkang.
“Perdana Menteri tidak ambil gaji tetapi mereka kata ‘mana boleh tidak ambil gaji, malaikatkah tidak ambil gaji?’. Tidak ambil gaji pun kena marah.
“Saya cakap dengan Wan Azizah, ‘geram-geram ambillah gaji tahun depan. Tengok mereka mahu kata apa pula’. ‘Dahulu tidak ambil gaji, sekarang ambil gaji’. Salah juga.
“Ini apa perangai hodoh sangat? Ini maknanya cemburu. Saya bukan miskin. Elaun ahli parlimen saya ambil. Wan Azizah pun ada elaun ahli parlimen cukuplah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2024 di Pulau Pinang hari ini.
Timbalan Presiden PAS hujung bulan lalu mempersoalkan kenyataan Anwar yang masih kekal enggan mengambil gaji sebagai Perdana Menteri.
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kenyataan Anwar itu tidak wajar kerana para rasul sendiri diberikan ganjaran oleh Allah untuk meneruskan hidup.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI