Oleh Wartawan TV Pertiwi
Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mempersoalkan sikap berat sebelah Peguam Negara dalam permohonan melepas tanpa membebaskan (DNAA).
Ketua Penerangan BERSATU Wilayah Persekutuan berkata Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diberikan DNAA walau berdepan 47 tuduhan di mahkamah.
“25 pertuduhan [Najib] itu sikit sahaja berbanding 47 tuduhan prima facie ke atas Zahid.
“Seperti Zahid, jika Peguam Negara mahu, Najib juga boleh diberikan DNAA. Zahid lagi banyak pertuduhan.
“47 pertuduhan prima facie kes rasuah salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram,” coretnya di Facebook miliknya semalam.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu mengarahkan Najib membela diri atas 25 tuduhan pengubahan wang haram 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan 97 hari sebagai tempoh perbicaraan bermula 2 Disember ini.
Tun Faisal berkata Peguam Negara berhak memohon DNAA dan ia dalam pengetahuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Semuanya atas kuasa Peguam Negara. Azalina pun tahu pasal ini bukan? Ia pernah berlaku ke atas bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Baru sahaja berlaku ke atas Zahid dan boleh juga berlaku ke atas Najib. Segalanya berkemungkinan,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI