Oleh Kamil Awang
Peguam kanan menggesa kerajaan tidak memansuhkan Akta Hasutan bagi mengekang salah laku berkaitan kaum dan agama.
Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata akta itu masih diperlukan Malaysia walau terdapat pihak tertentu yang menggesa ia dimansuh akibat disalah guna kerajaan.
“Akta Hasutan masih relevan sebab ia lebih mementingkan kepada perbuatan. Ia tidak perlu dikhususkan kepada niat perbuatan tersebut.
“Jenayah lain perlu ada niat seperti curang atau jahat baru boleh didapati bersalah,” katanya kepada TV Pertiwi mengulas pendirian kerajaan mengkaji lebih 3,000 undang-undang lapuk.
Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2025 berkata lebih 3,000 undang-undang lapuk akan dikaji semula seiring dengan peredaran masa.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pasukan Reformasi Perundangan akan dibentuk bagi menerajui pengemaskinian khususnya undang-undang komersial seperti Akta Kontrak 1950.
Mohamed Haniff berkata apa yang perlu dilakukan kerajaan adalah memastikan Akta Hasutan tidak terus disalah guna untuk menjayakan matlamat politik.
“Apabila ada pihak berkuasa yang disulami dengan permintaan pihak politik untuk menyalah guna akta. Itu salah. Kalau itu berlaku, kita perlu hentikan penyalahgunaan.
“Buang pemimpin politik begitu. Penjawat awam begitu perlu ditukar. Tetapi tidak bermaksud membatalkan Akta Hasutan,” katanya.
Beliau berkata rakyat juga perlu memainkan peranan mendesak kerajaan agar akta itu tidak terus disalah guna untuk tujuan tertentu.
Katanya, Akta Hasutan masih diperlukan tetapi aspek penyalahgunaan perlu dibanteras agar tidak menganiaya pihak pembangkang.
“Seperti main bola, pengadil rasuah menyebabkan kekalahan. Adakah perlu kita hentikan permainan bola sepak? Kita buang pengadil.
“Mereka yang meminta untuk memansuhkan Akta Hasutan mereka terlalu memikirkan tentang penyalahgunaan sedangkan mereka tidak usaha membuang penyalahgunaan.
“Mereka tidak berani membangkitkan hingga ke Parlimen untuk membuang orang menyalah guna. Kamu tidak berani, kamu buang akta?” soalnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI