Oleh Azzman Jamal
BANGI, Rabu – Malaysia mengecam keputusan rang undang-undang (RUU) Parlimen Israel (Knesset) yang mengharamkan Agensi bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) beroperasi di Wilayah Pendudukan Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Gaza.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan hari ini berkata, Malaysia mengutuk tindakan ini sebagai serangan terang-terangan terhadap Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, keputusan RUU itu adalah penempelakan serius kepada masyarakat antarabangsa dan kehormatan sesebuah agensi kemanusiaan antarabangsa.
“Malaysia menegaskan sekali lagi bahawa rejim Zionis Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas negara Palestin yang dijajah termasuk Baitulmaqdis yang mana UNRWA diiktiraf melalui perjanjian antara Palestin dan PBB.
“UNRWA ditubuhkan melalui Perhimpunan Agung PBB dan memainkan peranan penting dalam menyediakan talian hayat untuk lebih 5.9 juta rakyat Palestin dan pelarian warga itu di seluruh Timur Tengah.
“Selain itu, UNRWA menyediakan perkhidmatan kritikal dalam pendidikan, rawatan kesihatan dan bantuan kemanusiaan, terutamanya semasa konflik yang masih berterusan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, RUU tersebut berniat menghalalkan tindakan rejim Zionis Israel yang sengaja dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa untuk menghapuskan UNRWA.
Katanya, ini adalah sebahagian daripada strategi negara haram itu menafikan hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka seperti yang didukung oleh Resolusi Perhimpunan Agung PBB 194.
“Ia juga strategi untuk mendatangkan kebuluran kepada mereka yang terselamat daripada bencana kemanusiaan dan genosid di Gaza.
“Malaysia kekal teguh dalam komitmen menyokong UNRWA.
“Masyarakat antarabangsa harus mengambil tindakan tegas dan segera terhadap RUU ini demi melindungi UNRWA serta demi menamatkan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin,” tambahnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI