BANGI, Rabu – Orang ramai termasuk pihak media dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penemuan Mykad dan lesen memandu Malaysia di Ukraine.
Wisma Putra dalam kenyataan hari berkata, pihaknya masih belum dapat mengesahkan kesahihan berita itu.
Katanya, Kementerian Luar Negeri sudah mengambil maklum mengenai perkara itu dan proses pengesahan sedang dibuat di peringkat pihak berkuasa.
“Keselamatan rakyat Malaysia di luar negara adalah tanggungjawab individu masing-masing.
“Walaupun Pejabat Perwakilan Malaysia sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, adalah penting bagi semua rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan diri sendiri,” katanya seperti dipetik BERNAMA.
Terdahulu, tular sekeping gambar yang dimuat naik menunjukkan dokumen pengenalan diri MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia didakwa ditemui di kawasan medan pertempuran yang terletak di sempadan antara Ukraine dan Rusia.
Kandungan tersebut mendakwa bahawa dokumen itu dijumpai selepas tentera Rusia berjaya menawan kubu tentera Ukraine di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.
Sumber: BERNAMA
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI