Oleh Wartawan TV Pertiwi
Menteri Komunikasi menegur Meta kerana masih gagal menangani jenayah pedofilia dan pengantunan kanak-kanak di media sosial.
Fahmi Fadzil berkata, sungguhpun Meta menunjukkan komitmen terhadap lesen media sosial namun pencegahan terhadap jenayah seksual belum memadai.
“Saya menegur pihak Meta kerana masih gagal menangani jenayah pedofilia dan pengantunan kanak-kanak khususnya di platform Facebook.
“Meta perlu jauh lebih proaktif dalam membanteras kumpulan di akaun media sosial Meta yang menjurus kepada aktiviti jenayah seksual tersebut.
“Kerajaan akan terus pastikan platform media sosial tegas dalam menangani jenayah dalam talian demi internet yang lebih selamat untuk semua,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di Facebook miliknya hari ini mengulas pertemuan bersama Pengarah Dasar Awam Meta Asia Tenggara, Rafael Frankel semalam.
Fahmi berkata menerusi pertemuan yang turut dihadiri Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Meta dimaklumkan mengenai pelaksanaan lesen media sosial yang akan berkuatkuasa Januari ini.
“Niat kerajaan mengenakan lesen ini adalah untuk menangani isu jenayah yang berhijrah ke media sosial, termasuk scam, judi dalam talian, buli siber, dan jenayah seksual kanak-kanak.
“Saya beri komitmen untuk mendengar pandangan semua platform media sosial, memandangkan lesen yang bakal dikenakan adalah lesen kelas.
“Lesen ini dikenakan kepada semua platform yang memenuhi syarat-syarat, termasuk yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna di Malaysia,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI