Oleh Wartawan TV Pertiwi
Sementara menunggu persidangan Dewan Rakyat pagi ini, Ahli Parlimen PKR Hassan Abdul Karim sempat mencoretkan puisi menggambarkan situasi semasa kerajaan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, menghampiri dua tahun tempoh pentadbiran, beberapa perkara pelik dilakukan kerajaan bercanggah dengan aspirasi reformasi.
“Ke arah mana perginya perjuangan ini? Telah hilang segala roh. Telah lenyap cita-cita murni. Sekarang perkara-perkara pelik sedang terjadi.
“Di tengah-tengah usaha mengekal kekuasaan, tiba-tiba banyak perkara bisa dihalalkan, yang rasuah dilepaskan. Kemaafan si kleptokrat dialu-alukan.
“Oh, tanahairku. Ada diskaun dan potong harga rupanya dalam hukuman golongan kayangan,” coretnya di Facebook miliknya hari ini.
Coretan Hassan dipercayai merujuk kes rasuah dan pecah amanah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Hassan juga mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyambut baik permohonan maaf bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Oh, Malaysiaku tercinta. Inikah negeri yang aku impikan? Yang bertahun-tahun kita perjuangkan?” soalnya menerusi puisi bertajuk “Aku Kembali Menyoal Diri”.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI