BANGI, Selasa – Isu pengibaran bendera China kembali menarik perhatian, apabila terdapat satu lagi kes dilaporkan di Johor pada minggu lalu.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat yang selepas pihaknya menerima satu laporan polis berhubung insiden berkenaan pada Isnin.
Katanya, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Pihak polis akan memanggil penganjur yang terlibat serta saksi-saksi untuk membantu siasatan,’ katanya seperti dipetik laporan Kosmo.
Pada masa yang sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Melaka, Kerk Chee Yee tampil menjelaskan bahawa pengibaran bendera China di Johor pada 20 Oktober lalu itu merupakan sebuah Pesta Kebudayaan Guan Gong Antarabangsa Malaysia.
Katanya, program berkenaan turut dihadiri oleh ratusan delegasi daripada luar negara, termasuk China, Vietnam, Thailand, Philipine, Hong Kong, Singapore, dan Indonesia.
Ujarnya, selain bendera China, terdapat juga bendera negara lain dikibarkan di pesta itu.
“Bendera Malaysia pun ada, cuma gambar-gambar dalam Facebook saya tidak gambarkan sepenuhnya bilangan sebenar bendera Malaysia kerana saya tak terfikir ini akan jadi isu,” ujarnya di laman Facebook pada Selasa.
Justeru, Chee Yee mempersoalkan, mengapa hanya bendera China sahaja yang menjadi kontroversi dan bukannya bendera negara asing lain yang turut dikibarkan pada ketika itu.
Terdahulu, tular di aplikasi X oleh pemilik akaun bernama Salim Iskandar menunjukkan insiden pengibaran bendera negara luar oleh sekumpulan individu dalam satu upacara perarakan agama peringkat antarabangsa tersebut.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI