Oleh Azzman Jamal
BANGI, Isnin – Kegagalan pemimpin dunia bertindak terhadap kekejaman Israel berpotensi memberi laluan kepada negara haram itu menyerang negara lain yang menempatkan pelarian Palestin.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, satu dunia kini takut dengan Israel dan rakan sekutunya, Amerika Syarikat (AS) kerana sebarang tindakan yang diambil boleh mencetuskan Perang Dunia Ketiga.
Justeru, katanya, tiada negara yang berani berbuat apa-apa dan situasi ini mendorong kepada pembunuhan penduduk Gaza dan rakyat Lubnan secara berterusan.
“Israel sudah mula menceroboh Lubnan, selepas Lubnan (negara) apa?
“Hamas dan Hizbullah masih wujud, mungkin berada di lokasi lain. Untuk menghapuskan dua kumpulan itu, Israel perlu ikut mereka.
“Adakah berkemungkinan pencerobohan Israel seterusnya tertumpu kepada negara yang menempatkan orang Palestin?” soal beliau menerusi ciapan di X hari ini.
Tambah Dr Mahathir, meskipun Israel dikecam satu dunia atas bumi Palestin dan Lubnan, negara haram itu sebenarnya sedang berasa seronok dengan perbuatan kejam mereka.
Justeru, katanya, Israel tidak akan melaksanakan gencatan senjata.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI