Oleh Wartawan TV Pertiwi
Gaji minimum RM1,700 akan membawa cabaran besar kepada Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) Bumiputera, dakwa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
Setiausaha Agungnya, Ahmad Yazid Othman berkata, PMKS Bumiputera akan berdepan peningkatan kos operasi yang ketara, terutama sektor bergantung kepada tenaga kerja.
“Kenaikan gaji minimum secara langsung meningkatkan kos operasi PMKS yang majoritinya bergantung kepada tenaga kerja tempatan.
“Ini akan membebankan perniagaan kecil yang sedang cuba pulih daripada kesan ekonomi pandemik dan cabaran inflasi semasa.
“Tanpa pelarasan yang sewajarnya, PMKS Bumiputera berisiko menghadapi masalah aliran tunai dan penurunan daya saing dalam pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini memaklumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa 1 Februari 2025.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kadar itu diberi penangguhan sehingga 1 Ogos 2025 bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja.
Ahmad Yazid berkata, PMKS Bumiputera memerlukan masa tambahan untuk menyesuaikan diri dengan kenaikan gaji minimum ini.
Katanya, kos kontrak perlu disesuaikan bagi memastikan kenaikan kos buruh dapat diserap tanpa menyebabkan kerugian besar kepada perniagaan kecil.
“Kerajaan perlu menyelaraskan harga kontrak bagi usahawan Bumiputera yang terlibat dalam projek-projek kerajaan agar selari dengan kenaikan kos buruh.
“Ini penting bagi memastikan PMKS yang berkhidmat dengan kerajaan dapat menampung kenaikan gaji tanpa perlu menambah hutang atau menanggung kerugian.
“DPMM mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan pakej bantuan kewangan khas untuk PMKS Bumiputera dalam bentuk insentif atau subsidi sementara,” katanya.
Beliau berkata subsidi upah bersasar akan membantu menampung sebahagian kos gaji pekerja, terutama bagi perniagaan yang bergantung kepada tenaga kerja yang besar.
Katanya, DPMM mencadangkan agar kerajaan memperhebatkan usaha digitalisasi untuk PMKS Bumiputera bagi meningkatkan kecekapan operasi.
“Dengan lebih banyak sokongan dalam aspek teknologi, PMKS dapat mengekalkan daya saing walaupun kos buruh meningkat.
“DPMM menyokong sepenuhnya matlamat kerajaan dalam memastikan pendapatan pekerja yang lebih adil melalui kenaikan gaji minimum.
“Kerajaan perlu menyediakan sokongan tambahan yang sewajarnya kepada PMKS Bumiputera untuk memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ini,” tambah beliau.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI