Saham Starbucks jatuh 3.92% di Bursa Saham New York selepas gergasi kopi Amerika Syarikat (AS) itu melaporkan jualan akan terus menjunam.
Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks baharu, Brian Niccol berkata, prestasi merudum suku keempat syarikat itu secara jelas menunjukkan Starbucks memerlukan strategi baharu untuk kembali mencatat keuntungan.
“Prestasi kewangan suku keempat kami jelas bahawa kami perlu mengubah strategi supaya boleh kembali mencatat pertumbuhan dan itu yang kami sedang lakukan.
“Saya percaya masalah ini boleh diperbaiki dan kami mempunyai kekuatan untuk terus membangun,” katanya dalam kenyataan seperti dipetik laporan AFP.
Terdahulu, Niccol dilantik sebagai CEO pada bulan lepas menggantikan Laxman Narasimhan yang hanya memegang jawatan itu selama 16 bulan.
Keputusan suku tahunan awal menunjukkan jualan Starbucks menyusut 3.2% tahun ke tahun kepada AS$9.1 bilion.
Keputusan suku tahunan penuh akan diterbitkan pada 30 Oktober depan.
Syarikat itu berkata, prestasi merudum itu disebabkan oleh pendapatan suku tahunan yang menyusut di Amerika Utara, terutama penurunan 6% jualan kedai setanding, didorong oleh penurunan 10% transaksi setanding tetapi sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan 4% dalam transaksi purata.
Katanya, pelbagai promosi yang diperkenalkan oleh syarikat terbabit gagal menarik perhatian pelanggan.
Syarikat itu juga mencatatkan kemerosotan di China yang mana jualan kedai setanding menurun 14%, ditekan oleh persaingan sengit dan persekitaran makro yang memberi kesan terhadap perbelanjaan pengguna. – AFP
Pada akhir Jun, AS dan China yang mempunyai 16,730 dan 7,306 kedai merangkumi 61% cawangan Starbucks di seluruh dunia.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI