Oleh Wartawan TV Pertiwi
Parti PEJUANG menggesa rakyat menuntut penurunan harga minyak dan bukannya rasionalisasi subsidi yang akan dimulakan pertengahan 2025.
Ketua Penerangannya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, kerajaan tidak memiliki dasar jelas bagaimana rasionalisasi subsidi dapat memanfaatkan rakyat terbanyak.
“Rakyat tidak harus lupa karakter utama dalam kerajaan hari ini yang acap kali menyatakan bertahun-tahun lamanya serta baru-baru ini pada 2022.
“Dalam kempen mereka menyatakan ‘dalam masa 24 jam minyak akan turun’. ‘Mengapa minyak tidak turun, kerana saya tiada dalam kerajaan’.
“Rakyat harus tuntut janji ini. Penyasaran RON95 bukan janji yang dicanang dahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan rasionalisasi RON95 akan dimulakan pada pertengahan tahun hadapan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata rasionalisasi subsidi itu hanya akan memberi kesan kepada golongan maha kaya atau T15 iaitu 15 peratus rakyat Malaysia.
Muhammad Rafique berkata kegagalan kerajaan untuk menurunkan harga minyak membuktikan tidak mudah untuk menunaikan janji-janji pilihan raya.
“Isu janji pilihan raya dan tidak ikut janji ini penting untuk menunjukkan bahawa cakap mudah, buat memang payah. Tetapi ia diguna untuk mendapatkan kuasa dan menang sahaja.
“Kerajaan dan agensi-agensinya juga tiada sebarang persediaan bagi program penyasaran RON95. Hanya umum tanpa tahu kesan dan mekanismenya,” katanya.
Beliau berkata Belanjawan 2025 seharusnya memperkenalkan Cukai Makmur dan Cukai Warisan selaras aspirasi Anwar memburu golongan maha kaya.
Katanya, kerajaan perlu belajar daripada kegagalan rasionalisasi diesel apabila kenaikan harga barang tidak dapat dikawal dan mengakibatkan kesusahan rakyat.
“Pada masa subsidi diesel dulu, kerajaan bermati-matian kata harga barang akan stabil. Sekarang seolah rakyat sudah kebas dengan isu diesel.
“Harga barang naik tetapi rakyat sudah kebas. Adakah itu yang diharapkan kerajaan untuk RON95 juga? Biar rakyat meroyan seminggu dua.
“Sebulan, dua selepas itu rakyat akan kebas. Tiada arah dan hala tuju dalam isu RON95 setakat umum sahaja jelas membuktikan kerajaan pandai cakap sahaja,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI